Sunday, December 20, 2020

Karangan berdasarkan Bahan Rangsangan: 01 Langkah-langkah Untuk Memupuk Amalan Mencintai Alam Sekitar

Lihat gambar di bawah ini dengan teliti.

Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk memupuk amalan mencintai alam sekitar. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

 

 

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MEMUPUK AMALAN MENCINTAI ALAM SEKITAR



Amalan cinta akan alam sekitar merupakan sesuatu yang penting dan haruslah dipraktikkan dalam kalangan masyarakat tidak mengira bangsa, agama dan negara. Namun mutakhir ini, terutamanya arus modenisasi menderaskan pembangunan negara, banyak projek sosioekonomi dijalankan secara rancak, sehingga menyebabkan alam sekitar telah dicemari secara tidak sedar.

 

Amalan cinta akan alam sekitar dapat dipupuk dengan menggalakkan tanaman hijau. Pihak ibu bapa atau pihak sekolah boleh menggalakkan penanaman pokok seperti pokok-pokok bunga di kawasan persekitaran sekolah atau kawasan perumahan. Masyarakat disarankan agar menyahut seruan atau menyokong kempen penanaman pokok yang dianjurkan oleh pihak kerajaan bagi memulihara alam sekitar. Kempen tersebut berperanan dalam mengembalikan alam sekitar yang hijau, nyaman dan segar selain menghijaukan alam sekitar.

 

Selain itu, penjagaan kebersihan sungai juga perlulah diadakan dengan tujuan mempraktikkan amalan cinta akan alam sekitar. Sungai penting sebagai nadi kehidupan dan sumber bekalan air utama. Oleh itu, kita haruslah memastikan sungai terpelihara dengan melibatkan diri dalam aktiviti penjagaan kebersihan sungai secara aktif dan kolektif seperti Kempen Cintai Sungai Kita.

 

Tambahan pula, masyarakat haruslah mewujudkan kempen kitar semula dengan mengitar semula barang terpakai untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar. Pengurusan alam sekitar dan sumber semula jadi yang mapan menyebabkan sampah sarap dapat dikitar semula. Sebagai contohnya, kertas boleh dikitar semula untuk mengurangkan pembaziran dan mengurangkan bilangan pokok yang ditebang.

 

Kesimpulannya, langkah-langkah yang pragmatik dan proaktif haruslah diambil dengan tujuan memelihara alam sekitar untuk kesejahteraan bersama. Seperti yang diperkatakan negara akan maju sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dan menerapkan kesedaran tentang pemeliharaan alam sekitar dalam hati setiap anggota masyarakat.

(249 perkataan)

No comments:

Post a Comment

Ciri-ciri pelajar cemerlang

T ema/Isu : Pelajar yang cemerlang Tugasan/ Arahan : Ciri-ciri pelajar cemerlang yang harus ada Format karangan : Ceramah   Rangka...