Thursday, April 1, 2021

Karangan Umum: 02 Surat Kiriman Tidak Rasmi - C

 C. Tulis karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan bagi setiap soalan di bawah ini.

 

Seorang sahabat pena anda di luar negara telah menulis surat kepada anada untuk mengetahui perihal seni kraf tangan di Malaysia bagi projek folionya.

Tulis sepucuk surat kepadanya untuk menceritakan perihal perkembangan seni kraf tangan di Malaysia.




Rangka Karangan

R1 Pendahuluan:         

Menulis kepala surat (alamat pengirim dan tarikh), kata hadapan surat, dan panggilan     

hormat

           

R2 Isi 1: Isi 1 + huraian isi        

Surat sahabat telah diterima – memohon maaf kerana tidak membalas secepat mungkin   

– sibuk menduduki peperiksaan            

           

R3 Isi 2: Isi 2 + huraian isi       

Seni kraf tangan di Malaysia – terdiri daripada pelbagai industri desa – kebanyakan        

diusahakan di luar bandar – menggunakan bahan tempatan – menyatakan contoh

barangan         

           

R4 Isi 3: Isi 3 + huraian isi        

Mendapat sokongan dan bantuan kerajaan – melalui pelbagai agensi – bantuan modal     

– Tahun Melawat Malaysia – permintaan yang meluas   

                       

R5 Isi 4: Isi 4 + huraian isi       

Permintaan – menggalakkan-menwujudkan peluang pekerjaan – diusahakan juga oleh    

golongan kurang upaya

                       

R6 Penutup:    

Berharap sahabat berpuas hati dengan penjelasan – disertakan beberapa keping foto        

barangan kraf tangan Malaysia.

Mengakhiri surat-semoga berjumpa lagi dalam lembaran yang lain – ucapan sekian dan  

terima kasih – pengakuan pengirim, tandangan dan nama             



786, Kampung Bendahara,

113200 Kepala Batas,

Pulau Pinang.

22 Mei 2009.

 

 

Ke hadapan sahabatku Dayang Nurhana, di Bandar Seri Begawan, Brunei, semoga dalam keadaan  sihat sejahtera bersama-sama keluarga yang tersayang.

 

Sahabatku, Nurhana,

Surat saudari telah selamat saya terima pada minggu lalu dan telah saya fahami isi kandungannya.  Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana tidak dapat membalas  surat saudari secepat mungkin kerana sedang sibuk menduduki peperiksaan pertengahan tahun yang baru berakhir semalam.

 

Untuk pengetahuan saudari, hasil seni kraf tangan di Malaysia terdiri daripada pelbagai jenis seperti tenunan,  anyaman, sulaman, ukiran, atau pertukangan logam yang tergolong dalam industri desa. Kebanyakan hasil kerja tangan ini diusahakan di kawasan luar bandar menggunakan  bahan-bahan tempatan seperti  buluh,  rotan, daun pandan, mengkuang,  dan sebagainya. Antara barangan kraf tangan tersebut ialah kain Pua,  barangan logam dan tembikar, barangan manik dan kaca, tikar, bakul, serta ukiran kayu. Barangan kraf tangan di Malaysia unik kerana banyak menggunakan bahan alam semula jadi serta menggunakan kemahiran tangan   yang diwarisi secara turun-temurun.

 

Seni kraf tangan di Malaysia mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan. Kerajaan  melalui agensi-agensi seperti Perbadanan Kemajuan Kraf  Tangan Malaysia, Majlis Amanah Rakyat, dan Jabatan   Kemajuan Masyarakat, telah memperuntukkan bantuan modal untuk pengusaha-pengusaha yang ingin   menceburi industri ini atau mengembangkan perusahaan  mereka. Dengan adanya Tahun Melawat Malaysia,  barangan kraf tangan Malaysia mendapat  permintaan yang meluas dalam kalangan peniaga di pusat-pusat pelancongan.

 

Setakat ini permintaan hasil kraf tangan begitu menggalakkan. Penubuhan Perkampungan Karyaneka di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur bagi pusat pemasaran barangan kraf tangan tempatan  contohnya,   merupakan antara  usaha  untuk mengetengahkan hasil kraf tangan. Industri kraftangan di Malaysia juga telah  mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan selain diusahakan juga oleh golongan kurang upaya. Ada juga individu yang rnenjadi bidang seni kraf tangan sebagai kerjaya bagi menampung kehidupan  keluarga.

 

Besar harapan  saya agar saudari berpuas hati dengan penjelasan saya ini. Bersama-sama ini juga saya sertakan beberapa keping gambar foto barangan kraf tangan Malaysia untuk tatapan saudari.

 

Sekian sahaja coretan saya untuk kali ini. Semoga berjumpa lagi di lembaran yang lain.

 

Sahabatmu,

(AMEER FAIZ)

No comments:

Post a Comment

Ciri-ciri pelajar cemerlang

T ema/Isu : Pelajar yang cemerlang Tugasan/ Arahan : Ciri-ciri pelajar cemerlang yang harus ada Format karangan : Ceramah   Rangka...