Friday, December 18, 2020

Rumusan dan Pemahaman Umum: Latihan 01

Latihan 01 Baca petikan di bawah dengan teliti. (KBAT)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang tujuan Program Latihan Khidmat Negara dilaksanakan dan kesan-kesannya.

Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

 

1.           

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan di Pusat Latihan PLKN seluruh Malaysia bagi sesetengah daripada mereka yang terpilih apabila menamatkan pendidikan sekolah menengah di Malaysia atau berumur 17 tahun ke atas. Pengenalan program ini mendapat reaksi dan pandangan pelbagai daripada seluruh ahli masyarakat. Pelbagai pendapat pro dan kontra dikemukakan. Oleh hal yang demikian, semua pihak dan anggota masyarakat tidak patut menutup mata dan memekak telinga agar dapat mengupas segala faedah yang terdapat dalam program ini.

Sebenarnya, PLKN bukanlah program kerahan bercorak ketenteraan seperti yang dijalankan di negara-negara lain. Latihan ketenteraan dan aktiviti ekstrem yang dijalankan dalam program ini tidak bertujuan untuk mendera para peserta, tetapi lebih berperanan untuk membentuk disiplin dan ketahanan diri mereka.

 

PLKN merupakan program latihan untuk membangkit semangat patriotisme dalam kalangan muda-mudi. Remaja perlu diasuh supaya menghayati sifat sayang dan cinta akan tanah air. Malah, mereka bersedia untuk mempertahankan negara sekiranya negara Malaysia diancam oleh pihak luar. PLKN juga memainkan peranan untuk menyemai semangat perpaduan yang erat dan memupuk integrasi sosial yang lebih jitu dalam jiwa kalangan generasi muda pelbagai kaum. Akibatnya akan menjamin kesinambungan kehidupan harmoni masyarakat berbilang kaum di negara ini.

 

Bukan itu sahaja, dengan adanya kempen ini pelajar lepasan sekolah dan remaja dapat dihindarkan daripada membazir masa dengan terbabit dalam aktiviti yang tidak berfaedah. PLKN juga dapat menangani sebahagian daripada masalah keruntuhan akhlak generasi muda pada masa ini dan membuka era baharu bagi lepasan SPM untuk menimba ilmu dan pengalaman sebelum mereka melibatkan diri dalam realiti kehidupan masyarakat. Pendedahan ini berupaya untuk melahirkan remaja yang berjiwa besar dan matang.

 

Selain mendapat kenalan baharu, para peserta juga dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat ketika melakukan aktiviti khidmat sosial. Remaja turut dilatih dan diajar dengan berbagai-bagai aspek kepemimpinan dan kemahiran hidup. Hal ini demikian adalah untuk melatih kalangan remaja hari ini agar melahirkan pemimpin masyarakat mahupun negara pada masa akan datang.

 

Intihanya, semua pihak khususnya pihak ibu bapa perlu berfikiran positif ketika anak mereka terpilih untuk menyertai PLKN dan memberikan sokongan yang padu kepada anak mereka. Hal ini kerana impak positifnya telah  terbukti apabila majoriti pelatih yang telah tamat menjalani latihan telah menunjukkan perubahan diri  yang ketara, lebih menghormati keluarga dan sentiasa berfikiran positif.

 

(Dipetik dan diubah suai daripada “PLKN Pupuk Disiplin dan Semangat Patriotisme” Oleh Saharom Abd Aziz, Dewan Siswa, Sep 2006)

 

 

Rumusan

 

Pendahuluan

Petikan membincangkan faktor-faktor/sebab-sebab/punca-punca Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilaksanakan di negara kita.

 

Rumusan membincangkan  faktor-faktor/sebab-sebab/punca-punca Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilaksanakan dan kesan-kesannya.

 

 

 

 

 

Isi tersurat

1.       Bertujuan untuk membentuk disiplin dan ketahanan diri remaja.

2.       PLKN merupakan program latihan untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan remaja.

3.       Mereka bersedia untuk mempertahankan negara sekiranya diancam oleh pihak luar.

4.       PLKN juga berperanan untuk mewujudkan perpaduan yang erat dan memupuk integrasi sosial yang lebih jitu dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum.

5.       Murid lepasan sekolah dan remaja dapat dihindarkan daripada membuang masa.

6.       PLKN dapat menyelesaikan sebahagian daripada masalah keruntuhan akhlak.

7.       Membuka era baharu bagi lepasan SPM untuk menimba ilmu dan pengalaman.

8.       Melahirkan remaja yang berjiwa besar dan matang.

9.       Mendapat kenalan baharu.

10.   Berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat ketika melaksanakan aktiviti khidmat sosial.

 

Isi tersirat

1.       Melahirkan remaja yang tinggi jati dirinya.

2.       Membentuk keyakinan diri yang tinggi.

3.       Generasi pelapis yang kental semangat juangnya.

 

Penutup/Kesimpulan

Semua pihak hendaklah menyokong pelaksanaan PLKN agar bakal pemimpin negara kita dapat dibentuk mengikut kehendak yang betul.

 

Petikan membincangkan sebab-sebab Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilaksanakan di negara kita.

 

Tujuannya Program Latihan Khidmat Negara dilaksanakan ialah PLKN dapat membentuk disiplin dan ketahanan diri remaja di samping menyemai semangat patriotisme dalam kalangan remaja. Seterusnya, PLKN dapat menyelesaikan sebahagian daripada masalah keruntuhan akhlak. PLKN juga bermatlamat melahirkan remaja yang berjiwa besar dan matang sekali gus mewujudkan perpaduan yang erat dan memupuk integrasi sosial yang lebih jitu dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum. Seperkara lagi, peserta PLKN juga dapat mengenali kawan yang baharu.

 

Antara kesannya ialah dapat melahirkan remaja yang tinggi jati dirinya dalam kalangan masyarakat. Selain itu, pelaksanaan PLKN dapat membentuk keyakinan diri yang tinggi dalam jiwa remaja.

 

Kesimpulannya, semua pihak hendaklah menyokong pelaksanaan PLKN agar bakal pemimpin negara  dapat dibentuk mengikut kehendak yang betul.

(120 patah perkataan)

 

 

Soalan 2 (a) - Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1,  jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

 

2.            Berikan maksud rangkai kata kesinambungan kehidupan harmoni.

Maksud rangkai kata kesinambungan kehidupan harmoni ialah penerusan masyarakat yang hidup aman dan damai.

 

3.            Apakah impak positif setelah pelatih tamat menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)?

·         Menunjukkan perubahan diri  yang ketara.

·         Lebih menghormati keluarga.

·         Sentiasa berfikiran positif.

·          

4.            Sekiranya anda tidak ditawarkan untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), apakah aktiviti-aktiviti

·         Mengikuti kursus-kursus kemahiran jangka pendek seperti kursus komputer.

·         Bekerja secara sambilan.

·         Membantu adik-adik dalam pelajaran.

·         Melakukan aktiviti yang sihat seperti mengunjungi perpustakaan.

No comments:

Post a Comment

Ciri-ciri pelajar cemerlang

T ema/Isu : Pelajar yang cemerlang Tugasan/ Arahan : Ciri-ciri pelajar cemerlang yang harus ada Format karangan : Ceramah   Rangka...